Thailand memang terkenal dengan keindahan pulau dan pusat peranginan bertaraf dunia. Namun kebanjiran terlalu banyak pelancong menyebabkan keindahan semula jadi ini semakin tercemar.
Tetapi masih ada lagi destinasi yang terpelihara dan sesuai untuk lokasi percutian sama ada untuk berbulan madu atau bercuti bersama keluarga.
Pantai Chaweng, Lamai, Bophut dan Maenam antara pantai yang popular di Koh Samui. Pengunjung akan terasa damai dan tenang melihat pasir yang memutih dan angin laut yang menyegarkan di samping melihat kapal-kapal layar dan bot-bot yang berlabuh di laut yang jernih.
Selain itu, kuil Buddha dan mayat sami besar Buddha, Loung Pordoeng yang meninggal dunia 20 tahun dulu yang dipamerkan turut menjadi tarikan pelancong.
Agak lucu, terdapat batu berbentuk seperti alat sulit lelaki dan perempuan yang digelar Grandfather dan Grandmother Rock menjadi tumpuan pelancongan di pantai Lamai.
Satu lagi tarikan popular di Koh Samui ialah Namuang Safari Park. Di sini anda berpeluang menunggang gajah yang akan membawa kita ke air terjun setinggi 80 meter.
Gajah-gajah yang jinak ini mudah didekati dan pelbagai gelagat dapat dilihat apabila kita menghulurkan pisang untuk haiwan itu makan.
Koh Samui juga terkenal dengan gugusan pulau yang indah di Angthong National Marine Park. Untuk ke sini, pengunjung perlu mengambil pakej sehari yang disediakan agensi pelancongan.
Pengunjung akan dibawa snorkeling, berkayak dan melawat gua-gua di pulau-pulau ini. Pastinya lawatan ke taman laut akan memberikan kenangan seumur hidup kepada anda.
Untuk berkunjung ke Koh Samui, anda boleh menggunakan kapal terbang yang mendarat di Lapangan Terbang Koh Samui atau perjalanan darat yang menggunakan feri dari Donsak, Surrathani.
Sememangnya pelbagai destinasi dan aktiviti dapat dilakukan sepanjang di
Koh Samui.
Perancangan perlu dilakukan dengan teliti agar tarikan-tarikan utama di sini tidak terlepas dari jadual lawatan, terutamanya bagi mereka yang melancong tanpa mengambil mana-mana pakej lawatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05
SHARE DARI HARIAN METRO
Ulasan